Saturday, September 26, 2009

PANTUN USIK-MENGUSIK


Merpati terbang pulang ke sarang,
Sarangnya jauh di pinggir benua,
Jangan kuatir abangku sayang,
Ada rezeki bertemu jua.

Merpati putih terbang sekawan,
Hinggap bersama di batang sawa,
Rindu di hati tidak keruan,
Sehari menunggu tersiksa di jiwa.

Mentari terbit di pagi indah,
Menyinar perada dari suasa,
Cantiknya bahasa manisnya madah,
Kasih dan rindu menggamit rasa.

Jika adik pulang ke kota,
Jangan lupa berjumpa nyonya,
Pandai sungguh dinda berkata-kata,
Suara merdu indah lagi paras rupa.

Indah sutera buatan China,
Hadiah dari panglima perkasa,
Kanda juga apa kurangnya,
Buat dinda terhibur sentiasa.

Baik budi indah berbahasa,
Sekali dipahat takkan ku lupa,
Senyum terlakar manis ku rasa,
Dinda gembira kanda bahagia.

Di dalam hati engkaulah raja,
Kanda bahagia dinda gembira,
Kasihku hanya padamu sahaja,
Pengubat duka penawar lara.

Berpantun kita tak sudah-sudah,
Takde siapa mahu menyerah,
Walau otak sangat dikerah,
Asyik sungguh kita bermadah.

Inilah padahnya jika bermadah,
Sampai ke petang tak sudah-sudah,
Abang sayang janganlah gundah,
Jika mau menyerah silakanlah.

Jika dinda mahu bermadah,
Tak sanggup abang mahu mengalah,
Dinda nak juga kanda tak kisah,
Walau sampai esok tak sudah-sudah.

Dua-dua nampaknya tak mahu menyerah,
Takkan selamanya kita bermadah,
Iyalah tu dinda mengalah,
Kasihankan kanda yang mungkin lelah.

Pergi mengail udang galah,
Mengail dengan jiran sebelah,
Dinda juga masih bermadah,
Bermadah pula dengan tipu helah.


 
tuansyed-Chibi
Finish wrote at 12.45 a.m 27/09/2009
Loyang,Singapore

2 comments: